Wednesday, December 12, 2012

Isu KK 2, salah siapa?


Ramai yang memberi respon tatkala membaca coretan berkenaan KK2. Ada yang mahukan penjelasan yang lebih terperinci. Saya yakin dan percaya gharizah ingin tahu ini lahir daripada hati yang tulus cintakan Islam. Saya juga gembira apabila abang penjaga kedai photostat Kolej Kelima turut serta memberi sokongan kepada kami untuk memperjuangkan isu penghinaan terhadap Al-Quran ini. Seorang pemuda yang berambut panjang ala rockers turut mempunyai senstiviti apabila Islam dihina.
Beberapa teman turut memberikan respon dan ada yang mahu memukul sehingga mati orang yang melakukan kerja-kerja jahat ini. Tak kurang juga yang mahukan pengetua KK2 ditukar kerana gagal menjalankan kerjanya dengan baik. Khabarnya disaat kejadian ini berlaku, ada yang mengatakan pengetua KK2 berada di Indonesia. Sejauh mana kebenarannya itu saya tidak tahu, kerana khabar angin. Boleh jadi benar, boleh jadi salah.

Pihak pentadbiran UM pun terkena tempiasnya. Masing-masing runsing kerana kejadian yang berlaku ini hampir dengan perasmian Hari Alumni UM, bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Pak Lah. Tidak ketinggalan juga, majlis gilang gemilang ini akan dihadiri bekas pelajar UM yang rata-rata sudah berjaya. Ada bergelar menteri, menjadi ahli korporat yang berjaya dan sudah ramai juga yang bergelar Dato’. Bingung pihak keselamatan memikirkan hal ini, adakah hari alumni juga akan tercalar dengan peristiwa yang tidak dijangka.

Sudahlah sejarah telah menukilkan, pernah terjadi peristiwa Dewan Tunku Canselor (DTC) terbakar sehari sebelum kedatangan Tun Dr Mahathir bagi merasmikan Konvensyen Mahasiswa Negara pada ketika itu. Rata-rata menuduh kebakaran tersebut adalah sabotaj daripada pelajar, namun begitu laporan bomba menyatakan puncanya disebabkan litar pintas yang berlaku didalam DTC. Pendawaian yang sangat lama, sejak berkurun lalu masih lagi digunapakai. Sejak peristiwa itu, Tun Dr Mahathir “mengharamkan” kakinya melangkah ke UM. Namun begitu, kemarahan tersebut pudar setelah Tun meletakkan jawatan. Selepas sejuk hati, tahun lepas Tun kembali ke UM dan memberi ucapan di dewan Kuliah Utama, APIUM.

Sebab itulah, saya sendiri malas untuk menunding jari kepada sesiapa sahaja berkenaan hal ini. Soal siapa yang melakukannya, serah saja kepada pihak berkuasa untuk menyiasat. Namun begitu, sebagai seorang muslim kita harus mempunyai senstiviti untuk memperjuangkan isu ini. Saya sedih melihat segelintir mahasiswa yang tidak endah berkenaan hal ini.

Ada yang sanggup mengambil gambar pelajar-pelajar kolej yang sama-sama menjayakan solat hajat dan himpunan aman di KK2. Mereka berusaha mengambil gambar dari celah-celah tingkap dari bangunan atas. Tidak lain, gambar-gambar ini akan digunakan untuk membuang pelajar daripada KK2 pada hujung semester akan datang. Inilah yang sering berlaku. Sekiranya saudara Mohd Hilman B Che Nordin, seorang JIK kolej yang begitu komited boleh dibuang dari kolej kedua. Seorang ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) pun dibuang kolej, inikan pula mahasiswa bawahan yang tiada sebarang jawatan di KK2.

Apa pun yang terjadi, mudah-mudahan peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita semua. Janganlah minyak yang panas, kita simbah dengan air. Takut-takut api yang menyala tidak dapat dipadamkan. Kepada yang melakukan perkara ini, bertaubatlah. Mudah-mudahan akan diampunkan oleh Allah. Kita tunggu siapa yang bersalah, tidak di dunia mungkin akan ketemu di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment